Saturday, February 14, 2009

INTERAKSI 5

JENIS PENILAIAN BAHASA
1. Ujian Formatif
2. Sumatif
3. Ujian Kefasihan
4. Kemajuan
5. Ujian Bakat
6. Pencapaian
Ujian Formatif
Ujian jenis ini dilaksanakan bertujuan untuk menentukan kemajuan pelajar-pelajar dari semasa ke semasa sepanjang pembelajaran mereka. Ujian ini dijalankan semasa kursus diadakan dan tujuannya ialah untuk mempercepatkan proses pembelajaran.
Ujian Sumatif
Ujian sumatif bertujuan untuk mengesan secara menyekuruh taraf pencapaian murid di akhir sesuatu pembelajaran. Matlamat utama penilaian jenis ini ialah untuk memberi markah atau gred kepada seseorang murid supaya dapat membandingkannya dengan markah murid lain dalam kumpulannya.
Perbezaan Ujian Formatif Ujian Sumatif
Fungsi - Sebagai maklumbalas kepada pelajar dan guru untk mengetahui kelemahan serta kemajuan - Pensijilan/pengredan
Masa - Sepanjang pengajaran - Pada akhir unit/ kursus
Penekanan - Kognitif, psikomotor, dan afektif - Kognitif
Sifat - Terhad kepada tugasan - Beraneka jenis
Kesukaran - Berubah-rubah - Senang kepada sukar
Alat - Dibentuk khas - Peperiksaan akhir tahun
Jenis Ujian - Rujukan Kriteria - Rujukan Norma
Pelaporan - Gagal/lulus - Jumlah skor
Contoh - Ujian bulanan/lembaran kerja - UPSR, PMR, SPM dan STPM

Jadual banding beza antara ujian formatif dengan ujian sumatif

Ujian Bakat
Ujian jenis ini adalah khusus untuk menelah prestasi seseorang pelajar dalam pelajaran atau kemahiran bahasa asing yang akan dipelajarinya.
Ujian Pencapaian
Ujian pencapaian yang juga disebut sebagai ujian sumatif adalah jenis ujian yang diberi setelah kursus tamat dan tujuannya ialah untuk menilai hasil pengajaran. Ia diberikan untuk menilai kemajuan murid dalam pelajarannya dan juga untuk mengukur pencapaian murid secara menyeluruh.

Sunday, February 8, 2009

INTERAKSI 4

Soalan Objektif
Ada pelbagai jenis soalan objektif. Antaranya soalan berjawapan pendek, soalan melengkapkan jawapan pendek, soalan tindak balas alternatif, soalan memadankan dan soalan aneka pilihan. Walau bagaimanapun, yang sinonim dengan soalan objektif ialah soalan aneka pilihan kerana apabila disebut "soalan objektif" kita selalu merujuk kepada soalan aneka pilihan.
Dalam makalah ini, soalan aneka pilihan ini yang akan diberi tumpuan dan istilah "objektif" akan digunakan. Dalam soalan objektif, diberi satu "masalah" dan beberapa pilihan jawapan kepada masalah itu. Pelajar dikehendaki memilih satu jawapan yang betul atau tepat. Masalah itu boleh dinyatakan dalam bentuk soalan atau pernyataan (statement) yang tidak lengkap. Ini dipanggil "stem". Aktiviti pelajar terbatas pada pemilihan jawapan yang betul atau tepat sekali daripada beberapa pilihan yang diberi itu. Maknanya, pelajar tidak mempunyai ruang untuk memberi pendapat sendiri dalam bentuk komunikasi interpersonal dengan pemeriksa. Jika mahu dikatakan juga bahawa dalam menjawab soalan objektif pelajar turut memberi pendapat, itu hanya dalam bentuk komunikasi intrapersonal sahaja, iaitu memberi pendapat dalam kerangka pilihan-pilihan yang mudah ditentukan.

Prinsip-prinsip Asas Pembinaan Soalan Objektif
Sesetengah orang merasakan bahawa pembinaan soalan objektif adalah lebih mudah. Pendapat
ini tidak benar. Berbanding dengan soalan subjektif, pembinaan soalan objektif lebih rumit.Ada
beberapa prinsip asas yang perlu diambil kira dalam pembinaan soalan-soalan objektif:
1. Elakkan penggunaan perkataan yang membawa maksud negatif dalam soalan dan jawapan
(jika boleh) seperti salah, bukan, kecuali dan tidak. Tidak mahu boleh digantikan dengan
enggan dan tidak dapat boleh digantikan dengan gagal.
2. Pernyataan, petikan dan maklumat seperti peta, rajah, jadual dan sebagainya hendaklah
mempunyai perkaitan langsung dengan soalan. Jika tidak ada perkaitan langsung, masukkan
pernyataan sebelum soalan ditanya.
3. Elakkan penggunaan rangkai kata yang berulang dalam setiap pilihan jawapan.
4. Dalam sesuatu soalan, pilihan jawapan hendaklah:
a. seragam
b. hampir sama panjang
5. Soalan seharusnya mengandungi preamble iaitu pernyataan awal atau pernyataan
pengenalan sebelum ditanya soalan.
6. Fokus utama soalan hendaklah ada kaitan dengan idea utama yang hendak ditanya dalam
soalan. Manakala setiap pilihan jawapan hendaklah ada kaitan (sama ada kaitan betul atau
kaitan salah) dengan idea yang hendak ditanya dalam soalan.
7. Pernyataan dalam setiap soalan boleh terdiri daripada dua ayat.
8. Tatabahasa hendaklah konsisten dalam semua pilihan jawapan. Tatabahasa
juga hendaklah mudah difahami dan tidak mengelirukan.
9. Pilihan jawapan tidak berupa ayat kompleks, terlalu panjang dan berbelit-belit.
10. Selain jawapan yang betul atau tepat, pilihan jawapan hendaklah ada distractors.
11. Elakkan daripada menanyakan soalan tentang konsep atau definisi.
12. Elakkan penggunaan bahasa asing yang tidak lazim dan sukar difahami.


Soalan Subjektif

Pembinaan Item Ujian Subjektif
Item subjektif ialah item yang membenarkan subjektiviti dalam respons yang diberikan. Item ini digunakan supaya pelajar boleh mempamerkan kedalaman pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Pelajar boleh memberi respons dengan mengemukakan pelbagai jawapan yang bersikaft polikotomus. Oleh itu item ini mampu disesuaikan untuk menguji tahap kognitif yang lebih tinggi seperti mentaksir kemahiran menganalisis, mensintesis atau membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara yang mana memerlukan pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir. Item subjektif juga memberi kebebasan yang agak luas kepada pelajar bukan sahaja dari segi mempersembahkan respons, tetapi juga panjang atau pendek respons itu.
Item subjektif ini biasa berbentuk esei, sama ada berjawapan pendek, sederhana atau panjang. Justeru, prinsip penyediaan item jenis esei ini adalah sama bagi ketiga-tiga kategori soalan tersebut. Berikut adalah tujuh prinsip am untuk menyediakan soalan berbentuk esei:
1. Penulis perlu menyemak sukatan pelajaran dan objektif pengajaran, supaya soalan yang dihasilkan menepati sukatan pelajaran dan objektif pengajaran tersebut.

2. Arahan hendaklah jelas tentang panjang jawapan dan sama ada pelajar perlu menjawab dalam kertas soalan (mengisi ruang kosong) atau dalam kertas jawapan.

3. Soalan hendaklah ditulis secara padat, jelas dan tidak “berbunga-bunga”, supaya pelajar tidak membuang masa untuk memahaminya.

4. Aras kesukaran setiap soalan perlu setara supaya setiap soalan yang diberi markah yang sama, mempunyai aras kesukaran yang sama juga.

5. Soalan perlu ditulis supaya pelajar dapat membayangkan satu kerangka struktur yang akan memandu pelajar untuk menjawab soalan tersebut.

6. Tentukan terlebih dahulu perkara yang ingin diberi markah dan markahnya untuk memudahkan penyediaan skema jawapan.

7. Gunakan lebih banyak soalan berjawapan pendek (1/2 muka surat) daripada soalan berjawapan panjang (2-3 muka surat), supaya lebih banyak soalan boleh diberikan

INTERAKSI 3

Definisi
Tujuan penilaian/pengujian bukan sekadar untuk mendapatkan angka-angka (markah). Yang penting ialah signifikan angka-angka itu sama ada menunjukkan peningkatan prestasi atau penurunan prestasi, dan lebih jauh daripada itu ialah mengesan kemahiran pelajar. Dengan itu, penilaian/pengujian mesti ada organisasinya supaya sistematik. Dengan makna lain, mesti ada perancangan dalam penilaian/pengujian. Jika tidak ada perancangan, agak sulit untuk mengesan kemahiran-kemahiran tertentu. Ini juga bertujuan supaya penilaian/pengujian mempunyai organisasi yang sistematik, penetapan satu Jadual Penentuan Ujian (JPU) adalah sangat berguna.


Kepentingan
Berdasarkan analisis inilah Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) dirangka. Biasanya JSU terdiri daripada dua paksi, iaitu paksi kandungan dan paksi peringkat kemahiran. JSU ini akan menetapkan bilangan soalan yang perlu diuji bagi setiap tajuk/subtajuk pada setiap peringkat kemahiran. JSU yang lengkap dibina akan menjadi panduan kepada penggubal soalan. Jika JSU dipatuhi dengan teliti, maka ujian yang dibina adalah:
a) sah dari segi kandungan sukatan pelajarannya,
b) stabil dari segi mutu, tahap, dan kesukarannya dari setahun ke setahun,
c) sama dari segi mutu, tahap, dan kesukarannya walaupun ujian dibina oleh orang yang berlainan.
Proses yang penting dalam merancang ialah pembinaan Jadual Spefifikasi Ujian (JSU) yang mengandungi maklumat tertentu bagi sesuatu ujian. Pada tahap ini, kandungan sukatan pelajaran dianalisis untuk menentukan pentingnya setiap tajuk/subtajuk dalam kandungan sukatan pelajaran berkenaan. Antara aspek yang perlu dianalisis termasuklah yang berikut:
a) Liputan dan dalamnya kajian yang dibuat bagi sesuatu tajuk.
b) Pendekatan dalam mempelajari sesuatu tajuk.
c) Kepentingan bandingan antara satu tajuk dengan tajuk yang lain.
d) Bagaimana kompleksnya sesuatu tajuk.
e) Masa pengajaran-pembelajaran yang perlu bagi sesuatu tajuk
Maklumat di atas penting kepada penggubal soalan kerana maklumat itu menentukan sifat ujian dari segi bilangan soalan yang perlu dimasukkan untuk setiap tajuk/subtajuk.








Langkah Pembinaan


TAHAP ISTILAH
Pengetahuan
Ingat kembali, mengenal idea, fakta asas, definisi teori, hukum, tarikh, peristiwa dll daripada pembelajaran yang lepas.
Nyatakan, terangkan,
namakan, labelkan.
Kefahaman
Mengubah kefahaman daripada satu bentuk kepada satu bentuk yang lain, menyatakan idea-idea utama dalam ayat sendiri, menterjemah, memberi contoh kepada konsep, menterjemah draf.
Pilih, terangkan,
tulis semula.
Penggunaan
Menggunakan maklumat dalam situasi yang baru, termasuk menyelesaikan masalah menggunakan prinsip, kaedah, hukum, teori, formula. Bina graf daripada data, dll.
selesaikan, ramalkan, cari, kesilapan, bina alat.
Analisis
Sesuatu yang kompleks dipecahkan kepada yang kecil, bezakan fakta daripada pendapat, kaitan kenal di antara bahagian, kenali struktur organisasi.
Bezakan, pasti, pilih.
Sintesis
Menyepadu, mencantum idea menjadi satu, usaha tersendiri, menyelesaikan masalah, membuat ramalan, membuat klasifikasi.
Bina, hasilkan, susun, kembangkan.
Penilaian
Membuat pertimbangan termasuk memberi rasional atas alasan dalaman atau luaran, menafsir dan mengkritik
Pilih, berikan alasan, kritikan, buktikan.

INTERAKSI 2

Taksonomi Bloom

Bloom adalah orang yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan istilah ‘aras pemikian’ atau ‘levels of thought processes’. Bloom menyatakan bahawa pemikiran aras tinggi (higher-order thought processes) hanya boleh digembelingkan dengan penggunaan soalan atau objektif pengajaran aras tinggi juga. Bloom juga menyatakan bahawa keghairahan guru menggunakan soalan dan objektif pengajaran aras rendah telah melahirkan pelajar-pelajar yang tidak kreatif atau kritis. Ini berlaku kerana guru tidak sedar tentang kepentingan penggunaan soalan dan objektif pengajaran aras tinngi bagai menjana pemikran kritis di kalangan pelajar.
Bloom dalam usahanya untuk mengubah corak penyoalan dan pembinaan objektif pengajaran telah mencipta satu taksonomi yang dikenali sebagai The Taxonomy of Educational Objectives: Cognitive Domains pada tahun 1956. Dalam taksonomi ini Bloom telah menkategorikan kemahiran berfikir mengikut aras tertentu yang di kenali sebagai ‘level of thought processes’. Aras-aras berfikir Bloom terdiri dari enam aras; iaitu aras 1: pengetahuan (literal or knowledge), 2: kefahaman (comprehension), 3: aplikasi (application), 4: analisis (analysis), 5: sintaksis (synthesis), 6: penilaian (evaluation). Aras-aras satu dan dua adalah dikategorikan sebagai aras rendah (low-order) atau ‘convergent’ dan respons atau jawapan dari soalan aras ini biasanya tidak menggalakan pemikiran kritis. Bloom mendapati pada tahun 1994, selepas lebih kurang 40 tahun berlalu dari kajian asalnya (pada 1956) tentang kecenderungan serupa, mendapati bahawa kebanyakan soalan yang dikemukakan adalah beraras rendah dan keadaan ini, menurut Bloom, adalah tidak cenderung kepada pembentukan KB. Pemikiran reflektif sama seperti pemikiran kritis memberi penekanan kepada tujuan atau maksud idea atau buah fikiran yang ingin disampaikan. Ia mempunyai kaitan rapat dengan apa yang diketengahkan oleh Bloom berhubung dengan aras pemikiran. Pengetahuan aras rendah yang memerlukan ‘pengingatan’ atau ‘memorization’ yang dikatkan dengan aras ‘literal’ atau ‘pengetahuan’ dalam Taksonomi Bloom, walau pun tidak dinafikan kepentingannya, tidak menjana pemikiran reflektif.







Domain Krathwohl

Krathwohl dalam usaha lain telah menghasilkan satu taksonomi yang memberi pemberatan kepada unsur atau domain afektif dalam proses berfikir. Konsep tentang kepentingan domain afektif dalam kejayaan kehidupan seseorang telah dikhususi pula oleh penyelidik mutakir seperti Daniel Goleman yang menyarankan konsep yang dikenali sebagai ‘EQ’ atau ‘Emotional Intelligence’ (Kecerdasan Emosi) yang menurutnya memainkan peranan yang lebih penting dalam menjana satu-satu kejayaan. Menurutnya “80% kejayaan seseorang adalah bergantung kepada EQ dan bukan IQnya”. Kenyataan ini dibuat berdasarkan kajian yang dijalankannya keatas beribu-ribu orang ahli professional berjaya dalam lapangan masing-masing.

Krathwohl dan rakan-rakan, (1964) adalah antara penyelidik yang julungkali menggunakan terminologi ‘afektif’ (affective) dalam memperkenalkan satu lagi domain penting dalam hidup manusia. Ia digunakan sebagai satu lagi objektif pengajaran di samping aras-aras yang terdapat dalam domain kognitif yang telah diperkenalkan oleh Bloom dan rakan-rakan pada tahun 1956. Krathwohl mengkatigorikan domain afektif sebagai terdiri daripada; penerimaan (receiving), tindak-balas (responding), menilai (valuing), menyelaraskan sistem nilai (organizing a value set), dan mengamalkan sesuatu mengikut sistem nilai yang kompleks (characterizing by value complex).

INTERAKSI 1

Pengertian Pentaksiran dan Pengukuran

Kesahan bukti empirikal yang digunakan bagi penilaian sangat bergantung kepada sejauh mana pensyarah berupaya mengkuantifikasikan dengan tepat kewujudan atribut atau ciri penguasaan pelajar yang digunakan sebagai asas penilaian. Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang individu. Pengukuran merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu isi kursus yang diajar oleh pensyarah pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian.

Pengertian Pengujian

Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus di universiti. Ujian adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.

Memandangkan ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di universiti, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.

Pengertian dan Tujuan Pengajaran dan Penilaian

Penilaian memainkan peranan penting dalam pendidikan. penilaian dilakukan dalam semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuan perancangan program penambahbaikan pendidikan. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah dan makmal, penilaian dilakukan bagi mengetahui sama ada pensyarah ‘mengajar’ dan pelajar ‘belajar’.

Justeru itu, penilaian pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan dengan sempurna dan berkesan. Bukti-bukti empirikal tentang sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh menggunakan pengukuran perlu dianalisis. Memandangkan pengukuran di bilik kuliah dan makmal sering menggunakan ujian, pengujian merupakan salah satu aspek utama dalam bidang penilaian pengajaran.

Seseorang pensyarah biasanya merangka objektif dan kandungan kursus yang hendak diajar sebelum merancang strategi dan kaedah pengajaran kursus berkenaan. Kemudian, beliau akan menyediakan soalan sama ada untuk kuiz, ujian atau peperiksaan. Dalam merancang dan membina soalan, adalah penting agar soalan-soalan tersebut relevan, sesuai dan menepati objektif kursus yang dirancang dan kandungan yang diajar. Seterusnya, kertas jawapan pelajar perlu diperiksa, diskor, dianalisis dan ditafsir bukan sahaja untuk membuat penilaian yang adil terhadap penguasaan pelajar dalam kursus yang diajar, malah bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan soalan dan seterusnya pengajaran pensyarah. Justeru pemahaman terhadap konsep penilaian, pengukuran dan pengujian, ciri-ciri utama soalan ujian, matlamat mereka bentuk soalan formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik serta norma dan kriteria sangat penting bagi seseorang pensyarah bagi memastikan pengajaran dan penilaiannya bermutu dan adil.

1.1 Pengertian penilaian

Apakah itu penilaian pendidikan? Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.

Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di universiti, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal dicapai.

Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.